Post by dcruz on Jul 2, 2006 21:53:31 GMT 7
SEPANG DRAG BATTLE 2006 yang bakal memasuki pusingan ketiga minggu ini (1hb Julai 2006) telah ditunda ke tarikh 15hb Julai 2006.
"Pusingan ketiga SEPANG DRAG BATTLE ini ditunda diatas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Litar Antarabangsa Sepang telah menunda tarikh untuk kejohanan ini ke tarikh 15 Julai 2006," kata Irwan A. Rahman yang bertindak sebagai Pegawai Perhubungan Media Litar Antarabangsa Sepang.
"Untuk pusingan keempat dan kelima tarikh kejohanan tetap sama iaitu masing-masing pada 5hb Ogos dan 28hb Oktober 2006. Diharap semua peserta, peminat peka terhadap perubahan tarikh ini. Dan kami ingin memaklumkan bahawa SEPANG DRAG BATTLE akan menemui peminat dengan aksi yang lebih mendebarkan dan pastinya akan memukau penonton. Tunggu kita pasti bersua kembali pada 15hb Julai," tambahnya lagi.
SEPANG DRAG BATTLE merupakan sukan pecut kereta yang telah diadakan sejak tiga tahun yang lalu dan telah menarik minat peminat-peminat sukan pecut kereta tanahair. Peserta perlu mencatatkan masa yang terpantas dilitar lurus dengan panjang 400 meter. Pelbagai aksi dan peringkat modifikasi yang dapat disaksikan dalam kejuaraan ini yang rata-rata menggunakan jentera-jentera berkuasa tinggi.
"Kejuaraan SEPANG DRAG BATTLE memberi ruang peminat-peminat lumba pecut kereta menyaksikan dengan secara dekat jentera-jentera memecut laju melebihi 200 km sejam. Jentera-jentera yang telah diubahsuai sepenuhnya seperti Nissan Skyline R34, R33 dan tidak ketinggalan Mitsubishi Evo, Mazda RX7. Kesemua ini menjadikan SEPANG DRAG BATTLE unik, terhebat dan menghiburkan," tambahnya lagi.
"Untuk sesiapa yang ingin menguji kenderaan mereka dengan selamat mereka hanya perlu membayar RM150 untuk mendapatkan masa dengan pengawasan yang sewajarnya," kata Irwan lagi.
Pastikan kita akan bertemu kembali pada 15 Julai 2006 dan saya tunggu anda di Litar Antarabangsa Sepang!