www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/MakanAngin/20051009142136/Article/Berbuka di tengah rimba
Oleh Norakmah Mat Youb
Restoran D’River di Riverstone Eco Resort dalam
suasana nyaman di tengah rimba memberi
pengalaman menarik berbuka puasa.
SEBUT berbuka puasa di luar, ramai yang membayangkan menikmati juadah di hotel atau restoran dengan persekitaran ada kalanya serba mewah dengan diiringi muzik tempatan atau Timur Tengah.
Jarang yang membayangkan berbuka di ‘tengah hutan’ dalam suasana semula jadi diiringi deruan air sungai dan suara sang unggas. Namun inilah yang ditawarkan Restoran D’River di Riverstone Eco Resort (RER).
Terletak di Kilometer 7, Hutan Lipur Sungai Tua, Ulu Yam, restoran yang baru dua tahun dibuka itu diusahakan pasangan suami isteri, Mohamed Ashari Sidik dan Hamidah Asararuddin.
Berkonsepkan santai dan rileks, ia menawarkan pelbagai makanan serta minuman yang pastinya menepati selera semua golongan umur.
Pengunjung pasti terpesona dengan suasananya yang nyaman dikelilingi hutan, air terjun, dusun yang terdiri daripada pelbagai pohon buah-buahan serta perabot yang bermotifkan flora, sesuai dengan tradisi Melayu yang saling berhubung dengan alam.
DEKORASI gerai mi di pinggir rimba
kelihatan tenang dan santai.
Ini ditambah dengan kolam ikan sederhana besar yang dihuni ikan kap jepun merah, putih yang dibina berhampiran ruang makan, selain gantungan sarang burung tempua yang menyerlahkan keunikan pusat percutian di pinggir bandar ini.
Keunikan juga jelas terpancar pada bahan yang digunakan sebagai penghias atap. Jika siling lobi menggunakan guni beras, siling ruang makan yang beratapkan nipah pula digantikan dengan 100 kaki payung kertas yang digantung membentuk lelangit yang nampak serasi dengan kehadiran tiang bata nibong.
“Semua payung berkenaan dibeli di Teluk Intan dan ia adalah ilham suami saya. Kami tidak mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman ketika membangunkan pusat percutian ini kerana suami saya mempunyai banyak idea,” kata Hamidah.
Beliau berkata, selain menjamu selera di meja makan biasa, tetamu juga boleh menikmati hidangan di ruang bersila dengan meja rendah yang boleh memuatkan kira-kira 50 pengunjung pada satu masa.
Selain kemudahan untuk solat Maghrib, Hamidah berkata, pihaknya juga menyediakan kemudahan solat tarawikh bagi pengunjung yang ingin terus berada lama di sini.
LOKASI berbuka puasa yang unik di tengah rimba.
Antara menu berbuka puasa yang disediakan Restoran D River, ialah ikan patin masak tempoyak daun semomok, masak lemak nangka, pecal lele, ayam masak merah sungai tua, keli goreng berlada, daging masak lemak cili api dan masak lemak jantung pisang.
Istimewanya Restoran D’River turut menawarkan hidangan belut atas permintaan pelanggan.
“Ikan yang diperoleh dari Tanjung Karang ini boleh dimasak mengikut cita rasa pelanggan, tetapi menu yang sering yang mendapat sambutan ialah belut paprik,” kata Hamidah.
Katanya, selain paprik belut, satu lagi hidangan istimewa di situ ialah ikan bakar umbai yang enak jika dicecah air asam dan sambal kicap hasil ramuan sendiri.
Bagi hidangan pencuci mulut, pengunjung disajikan lebih 15 jenis kuih muih dan manisan seperti kuih ketayap, puteri ayu, sagu gula melaka, kuih talam dan kuih lapis.
Hamidah berkata,
hidangan buffet buka puasa adalah RM25 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak. Sepanjang bulan Ramadan ini kata Hamidah, selain berbuka puasa, RER juga menawarkan program penghayatan Ramadan yang terdiri daripada bengkel ibadat, tazkirah dan kursus motivasi kepada mereka yang berminat
Beliau berkata, modul program itu merangkumi penghayatan pengertian Ramadan, taaruf, tazkirah, bengkel solat, tadarus dan bengkel membaca al-Quran, selain solat hajat serta tidak ketinggalan qiamullail.
Bermula dari jam 4 petang, katanya, pengunjung boleh mengikuti bengkel membaca al-Quran dan bertadarus bersama imam sehingga waktu berbuka puasa di dewan terbuka yang dikelilingi pokok buah-buahan dan rimbunan buluh.
Hamidah berkata, bagi pengunjung yang datang awal, sementara menunggu waktu berbuka mereka juga boleh meneroka RER yang seluas 1.5 hektar dan berpeluang menemui lebih 90 jenis pokok kayu yang bernilai selain tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan.
Jika bercadang menginap di situ, RER menawarkan tujuh bilik kayu dan buluh selain dorm yang mampu memuatkan 12 hingga 24 orang sebilik. Bagi yang mahu berkhemah pula, tapak perkhemahan RER di kaki bukit tepi sungai mampu menampung sehingga 200 orang.
Maklumat lanjut boleh menghubungi Hamidah melalui talian 03-92872672.
FAKTA
RER terletak di Hutan Lipur Sungai Tua di hujung Empangan Sungai Batu, Jalan Ulu Yam.
Hanya kira-kira 20 minit perjalanan dari ibu kota.
Bagi pengunjung yang datang dari ibu kota perlu melalui Jalan Kuching menuju ke Pekan lama Selayang dan masuk ke lebuhraya Selayang-Ulu Yam, manakala pengunjung dari Utara boleh masuk di simpang di Batang Kali menghala ke Ulu Yam dan terus pekan Ulu Yam sebelum memasuki lebuhraya Ulu Yam-Selayang.